Ibu terkejut terima insurans arwah anak RM100,000

Posted September 18, 2009 by abu imtiyaz
Categories: 1

Sep 17, 09 4:00pm Ibu allahyarham Konstabel Azhar Ashari terkejut apabila dimaklumkan anaknya yang meninggal dunia pada pertengahan tahun ini, ada meninggalkan caruman premium insurans hampir RM100,000 dari dua buah syarikat insurans.

Rapiah Kasman, 53, berkata Azhar tidak pernah memberitahu keluarganya tentang kewujudan caruman sebanyak itu sejak menyertai perkhidmatan itu sejak tiga tahun lepas.

“Makcik terkejut apabila diberitahu syarikat insurans yang arwah anak makcik ada meninggalkan caruman untuk kami.

“Walaupun wang tidak boleh diganti dengan nyawa tapi kami akan gunakan sebaik-baiknya.

“Duit yang kami terima ini akan kami simpan untuk kegunaan di masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan cek di ibu pejabat polis daerah Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Allahyarham Azhar, 22, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah di kepala setelah dilanggar lari dari belakang ketika menyertai satu operasi bersepadu polis Mei lepas.

Rapiah berkata, menjelang tibanya raya setiap tahun, arwah akan menolong memasang langsir dan menghias rumah.

“Makcik biasanya masakkan ayam masak merah kesukaannya tapi raya tahun ini kurang seri tanpanya di sisi kami,” kata surirumah itu dalam nada sebak.

Beliau berkata Azhar, anak bongsu dari lima beradik itu, merupakan seorang yang rajin dan sentiasa berdikari dalam hidupnya.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid pula menyifatkan Azhar, yang berkhidmat di unit tugas am, balai polis Petaling, sebagai seorang anggota yang prihatin dan matang dalam melakukan tugasnya.

“Sehinggakan untuk keluarga pun arwah prihatin dan bijak apabila mencarum insurans yang sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya. BERNAMA

Etiqa menang Anugerah Bank Takaful Terbaik

Posted July 16, 2009 by abu imtiyaz
Categories: Keratan Akhbar

IMAGE0023

Garis Panduan Bedah Siasat @ Post Mortem Mayat Menurut Perspektif Islam

Posted April 15, 2009 by abu imtiyaz
Categories: Umum

Tags: , , ,

bedah siasatAgak sibuk sikit sejak kebelakangan ini untuk saya memasukkan entri baru. Almaklum, sejak 1 April komitmen saya dah bertambah  dengan orang baru dan kerja baru juga. Dengan bertambahnya tanggungjawab maka bertambahlah komitmen saya untuk mencari rezeki tambahan. Moga saya sentiasa tidak lupa memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. atas nikmat yang diberikan.

Dalam entri kali ini saya nak menyentuh sedikit tentang bedah siasat atau post mortem (selepas ini disebut mengguna istilah ini) dalam Islam. Sebab apa saya nak sentuh bab ni kerana, ada segelintir ejen takaful dalam keghairahan menarik prospek untuk menyumbang dalam takaful dengan cuba menakut-nakutkan dengan post mortem ke atas mayat dalam insurans konvensional. Jadi saya ingin membuka sedikit minda kita berkenaan dengan post mortem mayat. Sebagaimana dimaklumi hukum awal post mortem itu adalah haram. Kita ikuti pandangan ulama’ dalam hal ini.

Keputusan fatwa

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-25 yang bersidang pada 13 Disember 1989 telah memutuskan;
“Pembedahan mayat orang Islam hanya boleh dilakukan jika keadaan benar-benar memerlukan (dharurat) sahaja seperti terlibat di dalam kes-kes jenayah yang sangat memerlukan post mortem atau si mati tertelan benda yang berharga atau si mati yang sedang mengandung sedangkan kandungannya masih hidup.”

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-61 yang bersidang pada 27 Januari 2004 dalam membincangkan mengenai hukum bedah siasat mayat yang kematian bukan dikategorikan kes jenayah telah memutuskan; “Hukum asal pembedahan mayat adalah haram tetapi dibolehkan sekiranya dalam keadaan dharurat dan terdapat keperluan yang mendesak seperti membuat kajian terhadap penyakit, mengenalpasti punca kematian dan penyelidikan serta pendidikan khususnya dalam bidang perubatan . ”

Berikut adalah garis panduan yang saya ringkaskan dari laman web e-fatwa untuk melakukan bedah siasat menurut Islam :

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.
2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat.
3. Kebenaran Waris
4. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar).
5. Melakukan bedah siasat mayat setakat yang diperlukan sahaja.
6. Menjaga aurat mayat.
8. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat.
9. Mengambil langkah-langkah keselamatan.
10. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya.
11. Tidak mengambil tisu atau organ mayat.
12. Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat.

Untuk huraian lanjut anda boleh rujuk di sini.

Selain bedah siasat mayat yang dibenarkan mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, terdapat juga kematian yang perlu kepada bedah siasat mengikut peruntukan undang-undang dan arahan Kementerian Kesihatan Malaysia yang selaras dengan kehendak syarak (dharuriyyat dan hajiyat) iaitu:

  • Kes kematian medicolegal
  • Semua kematian yang mendadak luar biasa, disyaki bukan kes-kes biasa, akibat perlakuan ganas seperti bunuh.
  • Kematian mendadak biasa tetapi tidak diketahui sebab kematian dari segi perubatan.
  • Kematian akibat kemalangan menggunakan kenderaan.
  • Kematian di tempat kerja; kemalangan, penyakit dan keracunan di tempat kerja.
  • Kematian akibat keracunan. (e.g. alcohol intoxication, coal gas, insecticides, barbiturates etc).
  • Kematian akibat bunuh diri.
  • Kematian akibat penggunaan gas-gas perubatan semasa pembedahan, prosedur penyiasatan perubatan, peralatan dan teknologi yang digunakan oleh hospital/klinik dan sebagainya.
  • Kematian akibat kemalangan di rumah hospital/institusi/tempat umum.
  • Kematian akibat kecuaian pegawai dan kakitangan hospital/klinik seperti kecuaian menggunakan prosedur perubatan, peralatan,ubat, rawatan dan sebagainya.
  • Kematian tahanan polis, tahanan reman, banduan di kem-kem tahanan.
  • Kematian di Institusi Mental, rumah sakit jiwa dan lain-lain.
  • Kematian bayi baru lahir yang dijumpai.
  • Kematian kanak-kanak akibat kelemasan (suffocation) nafas.
  • Kematian berkaitan anak-anak angkat.
  • Sebarang kematian akibat kebakaran dan letupan.
  • Mati lemas.
  • Sebarang kematian di luar kawasan kediaman seperti di tepi jalan, dalam sungai, perairan dan sebagainya, di mana kediaman si mati tidak diketahui.
  • Kematian akibat dari bahan-bahan kimia dan radiasi perindustrian seperti toksik, asid, radioaktif dan sebagainya.

Kes Kematian Klinikal

  • Kematian akibat penyakit berjangkit seperti Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), AIDS, Anthraks, Japanese Encephalitis (JE) dan seumpamanya.
  • Kematian di wad yang diketahui sebabnya tetapi memerlukan maklumat lebih lanjut mengenai sebab kematian.
  • Kematian ibu semasa mengandung (maternal death).

Saya harap kita semua faham berkenaan post mortem yang digariskan. Mari kita perbetulkan tanggapan dalam hal ini.

Al-Fatihah

Posted February 5, 2009 by abu imtiyaz
Categories: Umum

Tags: ,

Saya baru menerima sms pagi tadi dari upline saya En Iznor mengatakan En Zamzainy, Head KL Branch Etiqa Takaful telah pulang ke rahmatullah pada jam 2.15 pagi..

Saya mendoakan agar rohnya ditempatkan dikalangan orang yang diterima amalnya dan tergolong dalam kalangan orang-orang yang beriman, amin..

Al-Fatihah..

Kursus Family Takaful Basic 1 (FTB 1)

Posted January 22, 2009 by abu imtiyaz
Categories: Kerjaya

Pada Isnin yang yang lalu, saya telah menghadiri kursus FTB 1 di pejabat agensi saya di Sg Tangkas, Kajang. Sepanjang 2 hari berkursus banyak ilmu baru yang saya perolehi. Kursus ini diwajibkan kepada wakil-wakil baru yang ingin menjalankan bisnes takaful.

Untuk pengetahuan, bagi wakil-wakil baru yang mendaftar selepas 1 Jan 2009, diwajibkan mengambil peperiksaan yang dianjurkan oleh The Malaysian Insurance Institute (MII). Tapi saya terlepas daripada mengambil exam tu. Menurut orang-orang lama standard exam ni dikawal kualitinya. Apa yang saya tau semua ejen/wakil baru dari syarikat Takaful tidak kira Etiqa, PruBSN, Ikhlas dan lain-lain wajib mengambil exam ni.

Ape pun, keperluan untuk saya menjadi wakil dah lepas, cuma sekarang target mendapat kes sebanyak mungkin. Info terbaru yang saya terima pihak syarikat akan launch beberapa produk baru pada tahun ini.

Tunggu saja!

3 termasuk OKU dituduh tipu insurans

Posted January 8, 2009 by abu imtiyaz
Categories: Keratan Akhbar, Umum

Tags:

PETALING JAYA: Tiga lelaki termasuk seorang orang kurang upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan berasingan menipu dan bersubahat dalam tuntutan insurans kemalangan membabitkan wang pampasan RM1.2 juta, lima tahun lalu.

Tertuduh, pemotong pokok, Wong Ngan Nyok 64; pemandu lori, Pang Kee Chong, 63, dan OKU yang lumpuh, K Achutan, 42, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Rozina Ayob.

Wong dituduh menipu Kurnia Insurans Malaysia Berhad (Kurnia) dengan memperdaya untuk mempercayai maklumat dan fakta yang diberikan melalui Tetuan T Rajagopalu & Co dan G Dorai & Co, peguam cara Achutan, dalam membuat tuntutan saman terhadap dirinya dan Pang di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Pilah, adalah benar sedangkan ia palsu.

Dalam tuntutan itu, Wong mendakwa Pang melanggar Achutan di kawasan jalan tanah merah, Taman Jaya, Negeri Sembilan pada 24 Julai 2004, sehingga anggota badan mangsa lumpuh akibat kemalangan itu.

Dia kemudian dengan curangnya mendorong pegawai dan kakitangan Kurnia menyerahkan wang pampasan RM1,175,862.52 kepada Achutan melalui prosiding yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Sivil pada 9 Mei 2007.

Wong dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Kurnia, Menara Kurnia, No 9, Jalan PJS 8/9 di sini, antara 22 September dan 27 Oktober 2004.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.

Pang dan Achutan pula dituduh bersubahat dengan Wong memberikan kenyataan palsu kepada Kurnia bahawa Achutan dilanggar lori BCF 9416 yang dipandu Pang, di tempat dan hari sama.

Semua tertuduh membayar wang jaminan. Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Aida Md Zainuddin.

Salam Maal Hijrah Tahun 1430H

Posted January 2, 2009 by abu imtiyaz
Categories: Motivasi, Umum, Utama

Tags:

Rasanya tak terlambat lagi nak ucap Selamat Tahun Baru Maal Hijrah 1430H!. Pada masa yang terhampir juga, tahun 2009 menuruti selang beberapa hari. Dalam memperbaharui(penghijrahan) azam@matlamat atau ape sahaja  kita  dituntut  mengutamakan Tahun Islam Hijri.

Bagaimana kita nak menyambut Tahun Masihi dengan kemeriahan laungan muzik2 yang mengkhayalkan, percikan bunga api sedangkan saudara Islam kita di Palestin dihujani dengan bunyi dentuman dan panahan peluru berpandu Rejim Yahudi yang tidak mengenal sapa.

Allahu Akbar!


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.